Dua sungai melebihi paras amaran di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Dua sungai di Kelantan membabitkan jajahan Pasir Mas dan Bachok, menunjukkan bacaan melebihi paras amaran dengan trend air meningkat sejak malam tadi.

Sungai terbabit ialah Sungai Golok, Pasir Mas dengan bacaan 8.02 meter, manakala Sungai Semerak di Bachok yang menunjukkan paras 8.53 meter setakat jam 1 tengah hari, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, berkata peningkatan paras air susulan taburan hujan yang lebat selain aliran air daripada sungai di kawasan hulu.

Katanya, susulan peningkatan paras air terbabit beberapa penempatan rendah terutama di jajahan Pasir Mas seperti di Kampung Luar, Kampung Bendang Perol, Kampung Padang Licin dan Kampung Tersang, mula di landa banjir

“Bagaimana pun berdasarkan laporan yang diterima, keadaan masih terkawal. Pegawai dan anggota bomba yang terbabit turut mempergiatkan rondaan dari semasa ke semasa bagi memantau keadaan selain menasihati penduduk untuk segera berpindah jika paras air terus meningkat.

“Biasanya, jika hujan berterusan sehingga dua atau tiga hari, banjir boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Jadi, semua penduduk yang berkenaan diharap berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

“Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) juga sudah mengeluarkan kenyataan jangkaan hujan sehingga esok yang mana membabitkan hampir keseluruhan daerah di Kelantan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, JBPM Kelantan sentiasa merujuk MetMalaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengetahui situasi semasa paras air selain membuat rondaan berkala terutama di kawasan yang menjadi ‘hotspot’ banjir.

“Kita mengharapkan kerjasama penduduk supaya mengambil tindakan segera untuk berpindah ke tempat selamat bagi mengelak terperangkap jika banjir terutama di kawasan yang sukar diakses sama ada melalui jentera berat atau bot sekali pun.

“Selain itu, setiap anggota dan pegawai bertugas sentiasa diingatkan supaya dalam keadaan bersedia selain turut mengutamakan keselamatan dalam menjalankan tugas,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO