Dua Tahun Ditutup, Warga Kuantan Terubat Rindu Buka Puasa Di Padang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Setiap kali Ramadan, padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 pasti menjadi lokasi tumpuan masyarakat di sini untuk berbuka puasa.

Namun, susulan negara pandemik COVID-19 yang melanda negara, padang ini ditutup dari kunjungan orang ramai selama dua tahun.

Penularan COVID-19 sejak 2020 menyebabkan aktiviti berbuka puasa beramai-ramai tidak dibenarkan dalam usaha menyekat wabak tersebut.

Bagaimanapun, Ramadan tahun ini, Kerajaan Negeri Pahang membenarkan berbuka puasa diadakan di padang ini setelah negara kini berada di dalam fasa peralihan ke arah endemik, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan Datuk Hamdan Hussin berkata, keputusan tersebut sangat menggembirakan orang ramai kerana lokasi tersebut sangat ikonik dan mempunyai daya tarikan untuk dikunjungi.

“Pada 1 April, kita pun telah diberi kebenaran, tetapi untuk membuka padang ini kepada awam, kita perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jadi, berdasarkan kepada pembentangan SOP yang telah kita beri, telah mendapat kelulusan. Syukur Alhamdulillah, ini semua untuk warga Kuantan.

“Dan semestinya, ini merupakan satu nostalgia, momen yang tidak boleh dilupakan oleh setiap warga Kuantan,” kata Hamdan.

Dari tinjauan yang dilakukan Astro AWANI, orang ramai didapati sangat teruja apabila aktiviti berbuka puasa di padang dibenarkan.

Sumber: AWANI