Dua Wanita Dikompaun RM10,000, Kerana Cuba Merentas Negeri.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.

KUANTAN, 15 MAC 2021: Alasan mahu cepat dan tidak sempat memohon surat kebenaran rentas negeri menyebabkan dua wanita dikompaun RM10,000 setiap sorang dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong, semalam.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, kedua-dua wanita berusia 24 tahun tersebut ditahan ketika melalui pemeriksaan di pintu masuk ke negeri ini.

“Kedua-dua wanita berkenaan memberikan alasan nak cepat bergerak dan tidak sempat untuk memohon surat kebenaran sebelum memulakan perjalanan.

“Mereka juga ingat nak masuk negeri yang bukan di dalam kategori Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) tidak memerlukan surat rentas negeri,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua wanita dari Lembah Klang tersebut dipercayai ingin masuk ke negeri ini untuk bercuti.

“Ketika ditanya alasan untuk merentas negeri, kedua-dua wanita itu memberitahu ingin berjalan-jalan ke Pahang kerana negeri ini kurang kes COVID-19,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mendapatkan surat kebenaran rentas negeri terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang masalah.

Sumber: PAHANGMEDIA