Dulu takut, sekarang positif terima vaksinasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jeli: “Pada awalnya, saya takut untuk menerima suntikan vaksin, tambahan pula sedang mengandung tujuh bulan anak kedua, namun menerimanya dengan tenang selepas mendapat nasihat doktor,” kata Che Mas Rosli, 27.

Che Mas yang juga masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Rual, di sini, mengakui kaumnya agak sukar menerima vaksinasi pada peringkat awal, tetapi kini persepsi mula berubah selepas mendapat informasi lebih tepat.

Menurutnya, dia juga sering dibelenggu rasa khuatir mengenai vaksinasi sehingga diberitahu bahawa suntikan terbabit selamat untuk wanita mengandung.

“Alhamdulillah, saya sudah menerima vaksin pertama hari ini dan dilayan dengan sangat baik oleh petugas kesihatan.

“Terdapat beberapa jiran sekampung yang juga sedang mengandung menerima suntikan ini dan kami berfikiran positif bagi memastikan diri dilindungi dari wabak Covid-19,” katanya.

Che Mas berkata demikian ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di perkampungan Orang Asli Sungai Rual.

Katanya, walaupun masyarakatnya dianggap ‘ketinggalan’, mereka peka serta mengambil tahu setiap perkembangan berkaitan wabak itu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Jeli, Dr amirul Azman Abu Hassan berkata, lebih 40 penerima vaksinasi bagi Program Outreach di Sungai Rual membabitkan wanita mengandung.

“Mereka dengan usia kandungan lebih empat bulan, diberi suntikan vaksinasi khususnya jenis Pfitzer selain perlu menjalani pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah dan saringan penyakit kronik.

“Kebanyakan wanita mengandung dalam kalangan Orang Asli, di sini, dilihat menerima baik vaksinasi selepas diberi penerangan tentang kepentingan bagi menghadapi wabak Covid-19,” katanya.

Sumber: My Metro