KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, Jumaat ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengumumkan pengisytiharan pembubaran berkenaan.
Istiadat itu disempurnakan di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, sebentar tadi.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor.
Yang turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan barisan Ahli Dewan Diraja Selangor.
Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Kelantan akan membubarkan DUN Khamis ini, Pulau Pinang (28 Jun) dan Negeri Sembilan (30 Jun).
Pada 26 Jun 2018, DUN Selangor yang diterajui Pakatan Harapan (PH) kali pertama bersidang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
Selangor yang ketika itu dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal memerintah Selangor dengan memperoleh majoriti dua pertiga dengan menang 51 daripada 56 kerusi DUN dalam PRU-14.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua pada 11 Mei 2018 sebelum dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
PH kemudiannya menamakan Amirudin yang sebelumnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembudayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 dan mengangkat sumpah jawatan pada 19 Jun 2018.
– BERITA HARIAN