KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat tentang mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada golongan rakyat sasar, antaranya dengan menambahbaik Sistem ePerumahan yang telah beroperasi sejak Januari 2014.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penambahbaikan tersebut akan membolehkan pemohon Rumah Mampu Milik (RMM) negeri untuk membuat permohonan RMM dengan lebih mudah dan pantas.
Sekali gus dapat memenuhi keperluan semasa dan memastikan pemberian RMM dapat disampaikan kepada golongan sasaran.
“Alhamdulillah proses pembangunan sistem berkenaan telah pun siap sepenuhnya. Tahniah kepada portfolio jawatankuasa perumahan yang dikendalikan Yang Berhormat Dr Alias Razak bersama pasukannya.
“Juga kepada Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) yang membangunkan sistem ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Permohonan RMM Negeri Terengganu (e-Perumahan) Versi III secara maya, pagi tadi.
Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Pegawai Kewangan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.
Menurut Ahmad Samsuri, sistem ePerumahan Versi III akan dibuka kepada orang ramai untuk permohonan RMM mulai 1 September 2021.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri sedar akan keperluan rumah menjadi antara perkara yang diperlukan oleh rakyat.
“Untuk tujuan itu, kita sedang giat merealisasikan pembinaan 20,000 unit rumah kepada rakyat Terenganu.
“Pelbagai inisiatif telah diambil untuk menjayakan manifesto ini bermula dengan pembinaan RMM dari agensi-agensi di bawah kerajaan negeri serta perbincangan dan kerjasama yang erat dengan pihak Kerajaan Persekutuan turut dipertingkatkan untuk bawa masuk Projek Perumahan ke Negeri Terengganu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menambah, kerajaan negeri turut memperkenalkan Dasar Perumahan Baharu untuk menarik lebih banyak penyertaan pihak swasta dan pelabur membangunkan lebih banyak RMM di Terengganu.
“Hari ini sistem ePerumahan ditambah baik untuk memastikan setiap permohonan diurus dengan lebih baik dan rumah yang dibina dapat disampaikan secara tepat kepada golongan yang berpendapatan rendah di negeri Terengganu. Insya-Allah,” ujarnya.
Sumber: TRDI News