ECERDC Berhasil Mewujudkan Pelaburan Bernilai RM10.9 Bilion di Negeri Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU — Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kerajaan Negeri Kelantan berjaya menghasilkan pelaburan sejumlah RM10.9 bilion di negeri Kelantan dalam tempoh 15 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata pelaburan ini telah mewujudkan hampir 10,000 peluang pekerjaan dan lebih 2,000 peluang keusahawanan kepada rakyat Kelantan.

“ECERDC mengambil pendekatan bersepadu untuk memacu pertumbuhan pelaburan merentasi pelbagai sektor di Kelantan untuk menggalakkan pertumbuhan industri hiliran bagi sumber mineral, selain mengatasi penguncupan dalam sektor pertanian demi menjamin sekuriti makanan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Antara fokus utama ECERDC adalah untuk memastikan anak-anak Kelantan dapat membuat pilihan ‘to work, live and play’ di negeri Cik Siti Wan Kembang, tanpa perlu berhijrah ke luar untuk mencari peluang yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini, yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut, Baidzawi berkata ECERDC juga memberi tumpuan khusus kepada pembangunan sektor perniagaan tani bagi menyokong usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara dan akan melaksanakan projek fertigasi cili komersial berskala besar di beberapa jajahan sekitar Jeli, Kuala Krai, Gua Musang dan Machang yang telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin ketika berucap pada majlis berkenaan berkata sejak penubuhan ECERDC, negeri Kelantan menerima banyak manfaat dari segi kemasukan pelaburan, pembangunan projek-projek infrastruktur dan logistik serta program pembangunan modal insan untuk membantu rakyat terutamanya golongan B40.

“Kita sentiasa menyokong usaha ECERDC untuk menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan pilihan dengan menyelaraskan perancangan Kerajaan Negeri dan menyediakan mekanisme pemudahcara pelaburan yang kondusif, memastikan negeri ini mesra pelabur,” katanya.

— UNIT BERITA MANIS FM