Kuala Terengganu: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yakin pelaburan RM3.9 bilion yang disasarkan ke Terengganu mampu dicapai menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che Mat berkata, ECERDC sudah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM2.7 bilion daripada RM3.9 bilion yang disasarkan sehingga 30 Jun lalu.
Katanya, ia dijangka mewujudkan sebanyak 3,040 pekerjaan dan 214 peluang keusahawanan baharu bagi rakyat di Terengganu.
“Susulan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan pada tahun ini, ECERDC akan memastikan projek dan inisiatif yang berjalan seperti kerja infrastruktur dan program pembangunan modal insan dilaksanakan seperti dirancang bagi mempertingkatkan daya tarikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan.
“ECERDC juga akan berusaha menarik lebih banyak pelaburan ke wilayah ini terutamanya dalam sektor minyak, gas dan petrokimia,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini, hari ini.
Baidzawi berkata, ECERDC akan melaksanakan program pembangunan modal insan bagi memastikan semua segmen masyarakat mempunyai akses kepada peluang yang diwujudkan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Katanya, seramai 1,135 peserta sudah dilatih dengan 943 orang ditawarkan pekerjaan dan menikmati pendapatan antara RM1,400 hingga RM4,000 sebulan di Terengganu.
“Kita juga menyokong usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bertahan dalam realiti baharu dengan menyediakan latihan untuk membantu mereka beralih ke platform e-dagang,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri menggesa semua pihak menarik pelaburan baharu ke Terengganu terutamanya dalam pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dan Taman Biopolimer Kerteh.
Sumber: My Metro