Econsave memberi bantuan tiga serangkai kepada mangsa banjir di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH: Pasar raya Econsave Cash and Carry (Econsave) menyampaikan bantuan tiga serangkai berbentuk sumbangan makanan dan barangan kebersihan, selain mengadakan gotong-royong dalam menyantuni mangsa yang terjejas banjir di Kelantan, hari ini.

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam, berkata sebanyak 550 set barang makanan dan kebersihan diagihkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Bharu, selain di Kampung Temila dan Kampung Gelam, Pasir Puteh.

Katanya, barangan yang disumbangkan berupa selimut, bantal dan keperluan harian seperti beras, gula dan biskut.

“Pada masa sama, kita turut membantu dengan membersihkan lima rumah dan sebuah surau yang terjejas akibat banjir yang mana mangsa adalah dalam kalangan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Kita bantu mengeluarkan barangan yang rosak, selain membasuh perabot dan membersihkan lumpur di bahagian dalam rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Temila, di sini, hari ini.

Program itu turut disertai 30 sukarelawan dari Pasaraya Econsave Kubang Kerian, Pasaraya Econsave Pasir Puteh dan Econsave Johor, selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mas Imran berkata, Econsave turut membantu mangsa banjir dengan mengagihkan pakaian terpakai secara percuma di hadapan pasar rayanya di cawangan Pasir Puteh dan Kubang Kerian.

“Kita memberikan sebanyak 10 tan pakaian terpakai dan 2,000 kasut sekolah yang baharu secara percuma untuk mangsa banjir.

“Orang ramai juga boleh menyumbang pakaian terpakai dengan meletakkan pakaian mereka di dua pasar raya kami di Pasir Puteh atau Kubang Kerian,” katanya.

Pada program sama, Econsave turut menyumbang 15 naskhah al-Quran kepada surau di kawasan berkenaan yang disampaikan Yang Dipertua Ikram cawangan Tanah Merah, Dr Wan Marzuki Wan Omar.

Sementara itu, mangsa banjir, Zakaria Ismail, 63, berkata dia bersyukur kerana sukarelawan membantu dengan membersihkan rumahnya yang dinaiki air setinggi 1.5 meter air pada Ahad lalu.

Katanya, keluarganya yang terperangkap dalam banjir jam 8.30 malam itu hanya berjaya keluar pada jam 3 pagi keesokannya untuk menyelamatkan diri.

“Saya hanya teringat anak yang sedang mengandung, namun bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya yang tinggal 10 beranak di rumah itu.

Rasli Deraman, 65, pula berterima kasih atas bantuan Econsave dan sukarelawan lain yang bersama-sama menyampaikan sumbangan di kampung itu.

Sumber: BERITA HARIAN