Ecuador Raih Tempat Ke Suku Akhir Copa America

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

AUSTIN: Ecuador seri 0-0 berdepan Mexico untuk menempah tiket ke suku akhir Copa America.

Ecuador, hanya memerlukan satu mata berdepan Mexico di Glendale, Arizona untuk mara menerusi perbezaan gol, berjaya mengekang asakan lewat ‘El Tri’ untuk mara ke kelompok lapan terakhir.

Mexico melancarkan asakan demi asakan pada penghujung aksi dengan sepakan Johan Vasquez diselamatkan penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez pada minit ke-71, enam minit selepas cubaan Santiago Gimenez terkena palang dari jarak dekat.

Seakan ada drama pada lapan minit tambahan masa apabila pengadil Guatema, Mario Escobar dilihat akan memberikan penalti kemenangan selepas pemain Ecuador, Felix Torres dilihat mengasari Guillermo Martinez dalam kotak penalti.

Penyokong Mexico berteriak gembira namun ia hanya sementara apabila VAR meminta Escobar melihat semula rakaman.

Rakaman menunjukkan Torres jelas menyentuh bola ketika mencabar Martinez dan penalti berkenaan dibatalkan.

Ecuador kini akan berdepan juara Kumpuan A, Argentina pada suku akhir di Houston Jumaat ini. – AFP