Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan mengedarkan 1,000 risalah kepada orang ramai di negeri ini dalam usaha memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Penolong Pengarah MKN Negeri, Deputi Superintendan Muhammad Shukri Awang Mat berkata, usaha berkenaan sudah dilakukan sejak seminggu lalu.
Katanya, pihaknya turut memantau pematuhan SOP secara berkala di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuklah lokasi terpencil di pedalaman.
“Bagaimanapun, sejak dari awal kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, secara puratanya masyarakat Kelantan mematuhi SOP, namun masih ada kes terpencil disebabkan kelalaian individu seperti lupa memakai pelitup muka.
“Selain pematuhan SOP, anggota keselamatan juga giat meningkatkan usaha mengawal pintu keluar masuk sempadan negara bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini,” katanya ketika mengadakan pemantauan SOP PKP di Jalan Pasir Mas- Salor, di sini.
Muhammad Shukri berkata, bagi memutuskan rantaian Covid-19, pihaknya menasihatkan orang ramai terutama dari zon merah supaya bersabar dan tidak pulang ke kampung serta merentas daerah.
“Sekiranya ada keperluan, mereka diminta berhubung dengan balai polis berdekatan bagi mendapatkan kebenaran,” katanya.
SUMBER : MyMetro