Empat Emas, Empat Rekod Kebangsaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Atlet Terengganu, Syahida Asyiqin Rusli mungkin boleh diletakkan sebagai calon utama Olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 selepas menutup tirai acara kayak dengan menggondol empat pingat emas dan empat rekod kebangsaan.

Walaupun hanya berlatih di sungai Kuala Ibai, Terengganu berbanding atlet lain di luar negara, ia jelas tidak menghalang Syahida menawan venue pertandingan di Kompleks Sukan Air Putrajaya dalam acara kayak.

Atlet berusia 18 tahun itu memulakan kempen saingannya dengan meraih emas dalam acara K1 1000 meter (m) wanita pada Ahad, memecah rekod lama dilakukan Nor Azita Ibrahim 4 minit 49.430 saat (s) dengan catatan baharu, 4:24.494s untuk meraih emas.

Dia kemudian meneruskan momentum dengan memecah rekod dalam acara K1 500m wanita dengan catatan 2:8.362s sebelum dua rekod turut dilakar pada hari ini dalam acara K1 200m (47.315s) dan K2 200m (46.365s) untuk meraih emas.

Secara keseluruhan untuk acara kayak, atlet berasal dari Kuala Terengganu itu sudah meraih empat emas, dua perak dan satu gangsa sebelum dia dijadual menyertai tiga acara perahu naga bermula esok.

“Sebenarnya saya benar-benar tak jangka untuk beraksi cemerlang dan meraih emas sebanyak ini terutama pada penampilan pertama saya di SUKMA kerana saya sedar akan cabaran dari negeri lain.

“Kami hanya menjalani latihan di sungai di Kuala Ibai. Kami lihat pasukan negeri lain menjalani latihan di luar negara seperti Hungary,” kata Syahida ketika ditemui media, hari ini.

“Jadi, saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya, jurulatih dan kawan-kawan sehingga saya berjaya untuk memperoleh kejayaan ini.”

Pada saingan yang menawarkan 10 emas hari ini, pasukan Johor terus ‘mengganas’ dengan meraih tujuh emas dalam acara TK1 200m lelaki, K1 200m lelaki, TK1 200m wanita, K2 200m lelaki, TK2 200m lelaki, K4 200m wanita dan TK2 200m wanita.

Sumber : BERITA HARIAN