Empat Kawasan Pelancongan Di Pahang Capai Imunisasi Kelompok 100 Peratus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Empat kawasan pelancongan di Pahang telah mencapai imunisasi kelompok dengan 100 peratus menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, empat lokasi berkenaan adalah di Pulau Tioman, Taman Negara, Genting Highlands dan Janda Baik.

“Bukit Fraser merekodkan 94 peratus, Cameron Highlands 74.6 peratus, Temerloh 62.36 peratus dan Rompin sebanyak 31.1 peratus,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BBP) kepada wakil persatuan pemandu pelancong sekitar Kuantan dan Cherating di pekarangan pejabat Tourism Pahang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Pahang berharap pemberian vaksin kepada penerima 18 tahun ke atas di empat lokasi pelancongan akan mencapai 100 peratus dalam tempoh terdekat.

“Sebaik mencapai imuniti berkelompok itu, lokasi pelancongan di Pahang diyakini kembali rancak dan membantu pengusaha pelancongan yang terjejas teruk kesan penularan wabak COVID-19.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa, kita akan melaksanakan gelembung pelancongan tetapi setakat ini kita masih lagi menunggu kelulusan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Pahang mahu melihat sektor pelancongan kembali dikunjungi ramai dan membantu pengusaha pelancongan yang terjejas menjana pendapatan.

Sumber: PAHANGMEDIA