Empat Kes Kematian Akibat Denggi di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Empat kematian akibat denggi direkodkan di Kelantan sehingga kelmarin berbanding sifar kematian tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kematian berkenaan membabitkan tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 23 hingga 71 tahun.

Katanya, statistik denggi pada Minggu Epid (ME) ke-36 dari 4 hingga 10 September lalu menurun sebanyak lapan peratus iaitu 23 kes berbanding 25 kes pada ME ke-35.

“Kumulatif kejadian kes denggi pula adalah 599 kes berbanding 151 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 448 kes atau 296.7 peratus.

“Terdapat 29 episod wabak denggi dilaporkan tahun ini berbanding tujuh episod wabak denggi bagi tempoh yang sama tahun lalu. Pada masa ini terdapat satu wabak denggi aktif iaitu di Taman Arif, Ketereh, di sini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, keadaan cuaca di Kelantan pada masa ini iaitu panas berselang seli dengan hujan yang diramalkan berterusan sehingga akhir tahun menyebabkan suasana kondusif untuk pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata, trend kes denggi pada tahun ini menunjukkan peningkatan sejak April sebagaimana yang diramalkan, namun kenaikannya adalah terkawal.

“Kes denggi yang terkawal berkemungkinan tindakan pencegahan demam denggi yang dilaksanakan bermula dua bulan sebelum Aidilfitri lalu kerana kebiasaanya berlaku peningkatan kes denggi seminggu selepas sambutan Hari Raya.

“Setiap daerah diminta untuk melaksanakan aktiviti pencegahan denggi di lokaliti berisiko iaitu di 208 lokaliti keutamaan di seluruh Kelantan,” katanya.

Selain itu, hasil pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 169,748 premis termasuk rumah kediaman didapati sebanyak 6,297 premis mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

“Jabatan juga mengeluarkan sebanyak 1,248 kompaun dengan nilai RM624,000 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN