KOTA BHARU – Seramai empat individu di Kelantan yang disahkan positif Covid-19 varian Omicron, semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika diminta mengulas laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dipaparkan di Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan empat kes varian Omicron itu membabitkan penduduk dari Kelantan.
Dr Zaini berkata, empat kes tersebut adalah tiga individu yang pulang dari Arab Saudi pada 22 Disember lalu dan seorang lagi pada 19 Disember.
“Tiga individu tersebut dijangkiti Covid-19 varian Omicron pada kategori satu dan mempunyai gejala. Manakala, seorang lagi kategori satu serta tidak mempunyai gejala.
“Kesemua mereka menjalani kuarantin seperti yang disarankan oleh KKM yang dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dr Zaini menyarankan supaya individu yang baru pulang dari luar negara supaya terus menjalani kuarantin wajib dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan penularan Covid-19 terutama varian Omicron kepada individu lain dan mencegah penularan virus tersebut dalam masyarakat.
“Saya berharap walaupun Kelantan sudah berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), setiap rakyat di negeri ini diminta supaya terus menjaga diri dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak jangkitan Covid-19.
“Jika ada gejala, kita minta mereka supaya terus melakukan ujian kendiri dan mengelakkan diri daripada bercampur dengan individu lain termasuk ahli keluarga,” katanya.
Sumber: HARIAN METRO