Empat premis TM Terengganu tutup, kakitangan positif Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Empat premis Telekom Malaysia Berhad (TM) Terengganu ditutup sementara selama enam hari hingga Sabtu ini susulan salah seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Pengarah TM Wilayah Timur, Mohd. Yazid Abd. Manaf berkata, penutupan itu membabitkan tiga premis di daerah ini iaitu TM Jalan Sultan Ismail, TM Jalan Air Jernih dan TM Jalan Pusara manakala satu di Marang, TM Medan Jaya. Penutupan sementara itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja nyah kuman di kesemua premis tersebut.

“Kakitangan terlibat kini menjalani kuarantin dan menerima rawatan di hospital kerajaan. TM sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang penyebaran virus ini dan memastikan keselamatan para pelanggan, anggota dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Yazid, premis-premis TM lain di negeri ini termasuk premis TMpoint masih beroperasi seperti biasa. Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada pelanggan, kakitangan TM Terengganu dalam fungsi bukan kritikal diarahkan bekerja dari rumah sehingga akhir bulan ini – Utusan Online