Enam Ditahan Bantu Siasatan Pemalsuan Sijil Vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Polis menahan enam individu termasuk seorang juruteknik bagi membantu siasatan berhubung penipuan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dikendalikan seorang doktor swasta di Marang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata mereka yang berusia antara 35 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Marang, Dungun dan daerah ini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan enam individu terbabit dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Mereka yang ditahan dipercayai membantu suspek membuat hebahan berhubung sijil vaksinasi berkenaan.

“Hebahan perkhidmatan itu dilakukan secara ‘mulut ke mulut’ melalui kenalan yang dipercayai dan diupah dengan bayaran RM50 setiap pelanggan.

“Siasatan awal ke atas kakitangan klinik swasta berkenaan mendapati mereka tidak terbabit dalam kegiatan pemalsuan sijil vaksinasi itu,” katanya di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 51 tahun itu mengaku sebagai golongan antivaksin namun mengambil suntikan atas tuntutan kerja.

Katanya, perkhidmatan pemalsuan sijil itu dilakukan suspek secara bersendirian di kliniknya dengan kebanyakan urusan dilakukan secara dalam talian, termasuk menerusi emel.

Terdahulu, Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad temu janji vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Sumber: Berita Harian