Enam Jam Tahan Sakit Kaki Tersepit Celah Batu Sungai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JELI: Seorang lelaki berdepan detik cemas kaki kirinya tersepit di celah batu sungai ketika hendak menjala ikan di Sungai Hulu Balai, Kampung Kuala Balah di sini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, mangsa, Mohd Hulul Izmi Mohd Kamil, 31, bersama tiga lagi rakannya dikatakan berkhemah di kawasan tersebut sejak kelmarin.

Rakan Mohd Hulul dikatakan cuba membantu mengeluarkannya namun gagal sehingga mereka membuat keputusan untuk meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.11 petang.

“Perjalanan menuju ke lokasi agak jauh serta terletak di kawasan pedalaman dan sebaik tiba, kami mendapati mangsa sedang menahan kesakitan akibat kaki yang tersepit di celah batu sungai.

“10 pegawai serta anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa selain turut mendapat bantuan penduduk kampung serta anggota polis yang berada di lokasi.

“Sekitar jam 6.40 petang kaki mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Adni berkata, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Balah untuk rawatan lanjut.

– BERITA HARIAN