Enam lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Putrajaya: Enam daripada 11 kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, dikesan di beberapa daerah sekitar Kelantan dan kini sudah menjangkiti 49 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat daripada kluster itu membabitkan kalangan komuniti, manakala masing-masing satu kluster tempat kerja dan kumpulan berisiko tinggi.

Beliau berkata, kluster komuniti dikenali sebagai Kluster Kampung Kedondong Hilir (Pasir Mas) yang menjangkiti enam individu dan Kluster Kampung Sokor (Kota Bharu) yang menjangkiti enam individu.

“Selain itu, Kluster Kampung Blah (Kota Bharu dan Tumpat) menjangkiti 15 individu serta Kluster Kampung Hutan Melor (Pasir Puteh dan Kota Bharu) menjangkiti tujuh individu.

“Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, ia dikenali sebagai Kluster Gual Tinggi (Pasir Mas dan Kota Bharu) menjangkiti tujuh individu dan kluster di tempat kerja pula Kluster Dataran Air Muleh (Pasir Mas, Tumpat, Machang dan Kota Bharu) menjangkiti lapan individu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, semua 11 kluster baharu yang dikesan hari ini sudah menjangkiti seramai 144 individu.

Beliau berkata, selain Kelantan, dua negeri lain turut menunjukkan pertambahan kluster iaitu di Selangor (Kluster Industri Dua Batu 29 Jalan Ipoh) yang kini menjangkiti 23 individu.

“Tiga kluster lagi membabitkan tempat kerja di Johor yang dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Jalan Pendas, Kluster Industri Batu Empat Kempas dan Kluster Seri Paya yang semuanya sudah menjangkiti 52 individu.

“Satu lagi kluster di Negeri Sembilan iaitu Kluster Langkap 2, menjangkiti 20 individu,” katanya.

Sumber: My Metro