Enam Pelajar Malaysia Cipta Rekod Olimpiad Matematik Antarabangsa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Enam pelajar mencipta rekod apabila pertama kalinya kesemua peserta dari Malaysia memenangi pingat dalam Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia yang berlangsung di United Kingdom (UK).

Perkara itu dimaklumkan Olimpiad Matematik Malaysia menerusi perkongsian di Facebook pada Sabtu.

Ivan Chan Guan Yu dan Wong Jer Ren merangkul pingat perak sementara Daryl Lee Ker Ru, Leia Mayssa Masyerin, Tan Min Heng dan Loh Kwong Weng memenangi pingat gangsa pada pertandingan itu.

“Tahniah kepada kesemua pemenang. Ini merupakan kali pertama kesemua peserta dalam pasukan memenangi pingat dan menyelesaikan P1 dan P4,” ujarnya.

Dalam perkongsian sama, Olimpiad Matematik Malaysia turut memaklumkan Malaysia menduduki tempat kedua dan juga sebaris dengan Vietnam dalam kalangan negara-negara ASEAN, mendepani kedudukan Singapura.

Dengan kejayaan itu, katanya, Malaysia meraih kedudukan ke-33 daripada 117 negara yang mengambil bahagian.

Menurutnya, majlis penyampaian pingat akan berlangsung pada majlis penutupan The Forum, Bath UK pukul 4 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) pada Ahad.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengucapkan tahniah atas kejayaan yang cemerlang pasukan negara dalam pertandingan tersebut.

“Pasukan negara berjaya meraih dua pingat perak dan empat pingat gangsa dalam pertandingan berprestij ini, meletakkan Malaysia pada kedudukan kedua dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara.

“Semoga kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidikan untuk terus cemerlang,” katanya di Facebook. – Awani