Enggan ambil risiko, peniaga kedai makan di Kelantan tangguh ‘dine in’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Segelintir pemilik restoran dan kedai makan di negeri ini tetap tidak membenarkan pelanggan mereka makan di dalam premis kerana bimbang akan penularan semula wabak Covid-19.

Tinjauan mendapati, peniaga kedai makan, restoran mahupun kafe masih tidak membenarkan pengunjung untuk makan di dalam premis mereka walaupun kelonggaran diberikan kepada individu yang lengkap vaksinasi, bermula kelmarin.

Pemilik nasi kerabu, Zaini Ahmad, 51, berkata dia masih berasa takut selain turut khuatir untuk membenarkan pelanggan makan di kedainya memandangkan kes harian Covid-19 di Kelantan masih tinggi dan membimbangkan.

“Walaupun diberi kebenaran makan di restoran, saya memilih untuk menangguhkan terlebih dahulu kerana berasakan situasi semasa masih tidak bersesuaian lagi dengan kelonggaran itu.

“Malah, 10 pekerja saya juga masih belum diberikan suntikan vaksin Covid-19 sekali gus membuatkan saya enggan mengambil risiko, sekiranya dibenarkan (dine-in) ia akan mengundang penularan virus di premis dan seterusnya menjangkiti pekerja saya,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, penguru kafe, Chew Li Mun, 30, berkata pihaknya merancang untuk membenarkan pengunjung makan di dalam premis mulai September.

Mengakui bahawa perniagaannya agak terjejas melebihi 50 peratus ekoran ketiadaan pelanggan makan di kedai, namun baginya keselamatan pelanggan tetap perlu diberi keutamaan.

“Tidak mengapa berlaku sedikit kerugian, kerana keselamatan dan kesihatan yang perlu diutamakan. Buat masa ini jualan banyak bergantung kepada pelanggan yang ‘walk-in’ selain juga pesanan menerusi (aplikasi) Grab Food.

“Saya merancang untuk membenarkan pengunjung makan di dalam kedai bermula September selepas 12 pekerja saya lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan pada beberapa akaun Instagram milik kafe-kafe hipster sekitar Kota Bharu juga didapati pemilik kafe memuat naik kandungan dengan slogan #dineincanwait untuk memaklumkan mengenai penangguhan membenarkan pelanggan makan di kedai.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memberi kemudahan kepada mereka yang lengkap menerima vaksin Covid-19 di negeri-negeri fasa 2 Pelan Pemulihan Negara untuk makan di restoran.

Sumber: My Metro