Engku Shakir Ghairah Buru Gol

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Walaupun sering dibayangi tiga penyerang import, anak jati Terengganu FC (TFC) Engku Nur Shakir Engku Yacob membuktikan dia patut mendapat pengiktirafan peminatnya sendiri.

Pemain berusia 24 tahun itu muncul wira TFC apabila jaringan tunggalnya pada babak pertama membolehkan mereka menang tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lalu.

Kritikan peminat dalam media sosial menguatkan semangat pemain kelahiran Besut itu yang mendapat kepercayaan jurulatih Tomislav Steinbruckner di sebalik kehadiran trio serangan import Ivan Mamut, Adisak Kraisorn dan Jordan Mintah.

Engku Shakir bermula dengan skuad Piala Presiden Terengganu ketika berusia 18 tahun sebelum diserapkan ke pasukan TFC II pada 2020 dan skuad senior setahun kemudian.

Dia sedar masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk bergelar penyerang tulen dalam usahanya mengintai peluang beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“Alhamdulillah rezeki saya dan pasukan walaupun menang tipis dalam perlawanan itu. Ini hasil usaha keras kami sepanjang perlawanan terutama selepas gagal mara ke final Piala FA… ia juga hadiah buat peminat setia TFC yang tidak putus-putus hadir ke stadium memberikan sokongan padu kepada kami.

“Sebenarnya kritikan daripada peminat membangkitkan keazaman saya untuk membuktikan sesuatu dan ketiadaan dua penyerang import ketika berdepan Kedah tempoh hari membuka peluang buat saya.

“Namun perjalanan masih lagi jauh, saya perlu berusaha lebih gigih untuk bergelar penyerang terbaik, lagipun setakat ini saya hanya menjaringkan dua gol ketika berdepan Penang FC dan Kedah,” katanya.

– BERITA HARIAN