WOLVERHAMPTON – Pengendali England Gareth Southgate menyalahkan ketumpulan di depan gawang sebagai punca mereka gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan pertama Liga Negara-Negara UEFA termasuk seri 0-0 menentang Itali awal pagi tadi.
Perlawanan membabitkan dua pasukan final Euro 2020 tahun lalu itu diadakan di hadapan 3,000 kanak-kanak sekolah di Wolverhampton selepas England terpaksa menjalani hukuman satu perlawanan tertutup susulan kekecohan di Wembley Julai lalu.
Southgate melabelkan situasi itu sebagai memalukan untuk negara dan percaya suasana berkenaan memainkan peranan dalam satu lagi persembahan hambar skuad kendaliannya.
Gol tunggal England dalam tiga perlawanan terakhir hadir menerusi penalti Harry Kane ketika seri 1-1 di Jerman pada Selasa.
“Kami mempunyai dua atau tiga peluang yang sepatutnya disempurnakan, tetapi ketajaman di depan gol tidak mencukupi.
“Kami berusaha di babak kedua, tetapi tidak ada penyokong untuk membantu anda atau memberikan tekanan kepada lawan,” kata Southgate.
Sejak menewaskan England menerusi sepakan penalti untuk menjadi juara Eropah, Itali kehilangan rentak dan terlepas ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.
Bagaimanapun skuad kendalian Roberto Mancini bangkit mendahului saingan Kumpulan A3 Liga Negara-Negara UEFA dengan mengumpul lima mata daripada tiga perlawanan.
England kekal di tangga tercorot dengan dua mata, di belakang Hungary dan Jerman yang terikat 1-1 di Budapest.
Sumber: BERITA HARIAN