JERMAN 2-0 HUNGARY
Jerman menempah slot awal ke pusingan kalah mati EURO 2024 selepas menewaskan Hungary 2-0 dalam saingan Kumpulan A yang berlangsung di MHP Arena, awal pagi tadi.
Jamal Musiala membuka jaringan awal buat pasukan tuan rumah untuk mendahului Hungary dengan jaringan 1-0 dan menyaksikan kelebihan tipis itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Hungary yang sering hadir dengan percubaan merbahaya tidak berjaya membuahkan hasil dalam separuh masa pertama, malah terpaksa akur dengan keputusan pengadil yang mendakwa jaringan penyamaan mereka ofsaid pada minit ke-47.
Toni Kroos hampir memberikan kelebihan berganda buat Jerman tetapi rembatan dari luar kotak itu tempias kepada pemain Hungary dan berjaya diselamatkan oleh Peter Gulacsi.
Ikay Gundogan menggandakan jaringan pada minit ke-66 selepas menyempurkan hantaran Maximilian Mittelstadt untuk memastikan Jerman selesa dengan kelebihan 2-0.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dan menyaksikan anak buah Julian Nagelsmann mengecewakan ribuan penyokong Hungary yang tidak berhenti memberikan sorakan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Untuk rekod, Jerman berjaya menamatkan badi kemenangan berdepan Hungary selepas tiga perlawanan terakhir Jerman sekadar berakhir dengan dua keputusan seri dan satu tewas.
Hungary tewas dalam kedua-dua perlawanan Kumpulan A serta tidak berjaya mengumpul sebarang mata dan bakal melengkapkan jadual perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Scotland pada Isnin depan.
– AWANI