LONDON – Frank Lampard dipecat sebagai pengendali Everton selepas kurang setahun membimbing pasukan yang kini bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris itu.
Lampard menggantikan Rafael Benitez pada Januari 2022, tetapi bekas bos Chelsea itu terpaksa meninggalkan pasukan yang kini berada di tangga ke-19 liga.
Everton tewas 2-0 kepada West Ham Sabtu lalu – kekalahan kesembilan dalam 12 aksi Liga Perdana Inggeris yang meletakkan mereka pada kutipan mata sama dengan pasukan tercorot, Southampton.
Pemilik Everton, Farhad Moshiri sebelum ini memberikan sokongan terhadap Lampard, namun kekalahan di West Ham – yang disaksikan sendiri oleh pemilik itu selepas menghadiri perlawanan buat pertama kali dalam tempoh 14 bulan – sudah cukup untuk membuatkan legenda Chelsea itu dipecat.
“Everton Football Club boleh mengesahkan yang Frank Lampard meletakkan jawatannya sebagai pengendali pasukan utama lelaki hari ini.
“Semua di Everton mengucapkan terima kasih kepada Frank dan barisan kejurulatihannya di atas perkhidmatan mereka sepanjang 12 bulan lalu.
“Dedikasi dan komitmen Frank serta pasukannya sangat memberangsangkan sepanjang kehadiran mereka di kelab, tetapi keputusan perlawanan dan kedudukan dalam liga memaksa kami membuat keputusan sukar ini.
“Kelab sudah memulakan proses mendapatkan pengendali baharu dan akan memaklumkannya dalam masa terdekat,” kata Tottenham.
Paul Tait dan Leighton Baines akan mengendali sesi latihan buat sementara waktu, dengan Everton akan bertemu pendahulu liga, Arsenal pada 4 Februari.
Sumber : BERITA HARIAN