Apakah faedah memahami dan mengkaji tanda-tanda kiamat?
Terdapat banyak faedah jika seseorang memahami dan mengkaji tanda-tanda kiamat. Maklumat berkaitan tanda-tanda kiamat tidak semestinya hanya ada tatkala terdapat bencana atau di sebalik sesuatu fenomena sahaja. Maklumat berkaitan tanda-tanda kiamat ini dapat dilihat melalui perjalanan kehidupan seharian.
Al-Quran telah menyebut banyak faedah jika memahami dan mengkaji tanda-tanda kiamat ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 3)
Perkataan ghaib merujuk kepada perkara atau benda yang tidak dapat dilihat. Ini termasuklah percaya kepada Allah, malaikat, kitab-kitab Allah, nabi dan rasul, Hari Kiamat dan Qada dan Qadar.
Adakah tanda-tanda kiamat merupakan perkara ghaib?
Umat Islam wajib menyakini dan percaya kepada Hari Kiamat dan tanda-tanda kiamat. Tanda Kiamat merangkumi tanda kiamat kecil dan tanda kiamat besar. Antara tanda yang telah berlaku seperti terutusnya Baginda Nabi SAW, pembelahan bulan dan kewafatan Baginda SAW.
Kemunculan nabi palsu merupakan tanda yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Tanda yang sedang berlaku dan akan berlaku seperti pembinaan bangunan tinggi. Manakala, tanda yang akan berlaku seperti tanda besar kiamat.
Adakah Nabi SAW mengetahui bila kiamat akan berlaku?
Rasululullah SAW berkata-kata berdasarkan wahyu daripada Allah. Setiap pengetahuan Baginda adalah petunjuk daripada Allah. Nabi SAW tidak menyatakan masa dan saat yang tepat berlakunya kiamat, namun banyak hadis merakamkan tanda-tanda yang memperlihatkan kebenaran Nabi SAW tersingkap.
Tanda secara umum ini bertujuan supaya semua manusia sentiasa bersedia menghadapi saat kiamat tiba.
Adakah dengan memahami tanda-tanda kiamat akan menghapuskan pemahaman mengenai teori konspirasi?
Seseorang dapat menghapuskan banyak kekeliruan yang membelenggu pemikiran terutamanya melibatkan teori konspirasi apabila seseorang itu berpegang dengan al-Quran dan hadis. Ini kerana seseorang itu akan dapat membezakan antara perkara yang benar dan juga palsu.
Bagaimanakah sumber rujukan utama yang perlu disandarkan?
Asas utama yang perlu dilihat untuk memahami tentang tanda-tanda kiamat adalah sumber rujukan yang benar berasaskan al-Quran dan hadis yang sahih. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya.” (Hadis Riwayat Imam Malik)
Sekiranya sesuatu maklumat diragui, bagaimanakah cara untuk memahaminya?
Kita perlu bertanya kepada orang yang lebih arif iaitu alim ulama tentang ilmu tersebut. Ini disebabkan mereka lebih mendalami dan meneliti perkara tersebut.
Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada Ahluz Zikri jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Anbiya’ ayat 7)
Adakah boleh meletakkan sesuatu bencana atau peristiwa dengan tanda kiamat?
Banyak peristiwa yang berlaku dahulu dan kini sering dikaitkan dengan tanda kiamat. Antaranya virus Covid-19 dan jerebu yang dikaitkan dengan ‘dhukhan’.
Tanda-tanda kiamat yang dikhabarkan oleh Nabi SAW adalah bersifat umum dan tiada garis masa tertentu kecuali beberapa peristiwa yang telah berlaku. Oleh itu, kita tidak boleh katakan sesuatu peristiwa itu adalah tanda kiamat yang telah ditetapkan kerana mungkin juga perkara yang sama telah ada pada masa lalu dan akan menjelma pada masa akan datang.
Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga manusia berlumba-lumba meninggikan bangunan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Benarlah sabda Baginda bahawa tidak akan berlaku kiamat sehingga manusia berlumba-lumba membina bangunan tinggi yang merujuk kepada persaingan membina bangunan tinggi yang tidak akan diketahui bilakah noktah pengakhirannya.
Sumber: HARIAN METRO