Sejak dahulu lagi, al-Quran sangat dekat dengan kehidupan masyarakat Islam. Masyarakat Islam di Malaysia sudah terbiasa menghantar anak-anak belajar mengaji al-Quran sejak anak masih kecil lagi. Kadang-kadang, ibubapa yang berkebolehan dalam bidang mengaji al-Quran akan mengajar anak mereka sendiri di rumah.
Sudah menjadi satu tradisi masyarakat dulu-dulu, majlis khatam al-Quran akan diadakan setiap kali kenduri kahwin berlangsung. Sebahagian masyarakat dapat menguasai seni taranum al-Quran yang melahirkan tokoh qari dan qariah yang terkenal dalam masyarakat sehingga ke peringkat antarabangsa.
Ibu bapa juga turut gembira dan berbangga apabila anak-anak mereka dapat menghafaz al-Quran dan seterusnya dapat menjadi hafiz dan hafizah. Banyak hikmah yang tersurat dan tersirat yang membawa keberkatan di dalam kehidupan buat sesiapa yang melazimi al-Quran.
Di dalam sebuah hadis daripada Buraidah al-Aslamiy RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia. Lalu mereka bertanya: “Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?”
Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari al-Quran?” Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya.” Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al-Quran).” (Riwayat Ahmad)
Sebahagian ulama bersepakat bahawa haram menyentuh al-Quran atau mushaf melainkan dalam keadaan suci daripada hadas kecil atau besar.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Surah al-Waqi’ah, 77-79)
Selain dibaca, al-Quran juga perlu difahami isi kandungannya dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Sekurang-kurangnya berusahalah memahami maksud surah al-Fatihah yang dibaca setiap waktu solat fardhu. Pelbagai program dan inisiatif telah dianjurkan bagi mentadabbur makna dan isi kandungan al-Quran.
Allah mengingatkan tentang kepentingan mentadabbur al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Surah Muhammad, 24)
Pemahaman al-Quran perlu dirujuk kepada golongan pakar supaya tidak terjebak dalam kesesatan. Luangkanlah masa untuk membaca al-Quran bersama keluarga atau rakan supaya dapat mempelajari dan memperbaiki bacaan masing-masing.
Di dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.” (Riwayat Muslim)
Sumber: HARIAN METRO