KUALA LUMPUR: Pertembungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC (TFC) bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah bukan setakat menarik perhatian penyokong tempatan malah turut ‘sampai’ ke pengetahuan global.
Ini selepas penyerang yang pernah menggegar Eropah sebelum ini, Radamel Falcao berkesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad Harimau Selatan yang akan mempertahankan kejuaraan terbabit di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Ucapan penyerang berusia 37 tahun itu dikongsikan menerusi laman Johor Southern Tigers sekali gus mampu menjadi tonik terbaik buat skuad bimbingan Esteban Solari itu.
“Hai, kepada semua penyokong JDT, saya Radamel Falcao, selamat maju jaya kepada JDT. Jumpa nanti.”
Bukan setakat Falcao, JDT turut mengalu-alukan kehadiran pemenang Copa America 2004 dan dua kali Piala Konfederasi FIFA bersama Brazil, Julio Cesar dalam perlawanan Piala Sumbangsih, malam ini.
Cesar yang memenangi Piala Dunia Kelab 2010, Liga Juara-Juara 2010, lima kejuaraan Serie A dan tujuh Piala Itali bersama Inter Milan, akan berkunjung ke JDT untuk berbincang mengenai potensi selaku duta kelab.
Selepas ini, naib presiden dan legenda Inter Milan, Javier Zanetti juga akan turut mengunjungi kelab terbabit.
Sumber: BERITA HARIAN