FAM Gantung Rezal Zambery, Safiq Rahim

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih pasukan Kelantan FC Rezal Zambery Yahya dan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim masing-masing dikenakan hukuman tatatertib oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari-hari terakhir 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Dr Baljit Singh Sidhu berkata hukuman tersebut diputuskan jawatankuasa itu semalam dalam mesyuarat kali kelima bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM.

Rezal dikenakan hukuman penggantungan selama dua bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti berkaitan dan didenda sebanyak RM10,000.

Ia susulan bekas pemain tengah skuad kebangsaan itu membuat kenyataan semasa temu ramah berhubung isu berkaitan FAM tanpa kebenaran yang ia mampu memberikan impak negatif ke atas nama baik dan reputasi badan induk itu pada aksi Piala Malaysia antara Kelantan FC dan Sabah FC, 30 Sept lepas.

Rezal juga didapati mengecam mengenai urusan pentadbiran hal ehwal FAM melibatkan aspek pengadilan atau pengelolaan Liga Malaysia (Liga-M) pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu itu.

“Walau bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana pegawai ini dikenakan penggantungan selama satu bulan pertama dahulu dan baki satu bulan kedua ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pegawai,” kata Dr Baljit Singh dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, penggantungan dikenakan ke atas Rezal adalah satu bulan pertama dari 30 Dis 2021 hingga 29 Jan 2022 dan penggantungan satu bulan kedua dari 30 Jan hingga 28 Feb tahun depan adalah ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik.

“Jika pegawai ini melakukan apa-apa perlanggaran yang terkandung di dalam Kod Tatatertib FAM dalam tempoh 12 bulan selepas penggantungan pertama, maka hukuman penggantungan satu bulan kedua akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap pegawai ini. Keputusan denda boleh dirayu,” kata Dr Baljit Singh.

Sementara itu, Safiq pula didapati melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM atas tindakannya berkelakuan ganas menanduk muka pemain pasukan lawan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Nov lepas.

Justeru, bekas kapten skuad kebangsaan itu dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan dengan aksi final Piala Malaysia 2021 antara Kuala Lumpur City FC dan JDT pada 30 Nov adalah yang pertama.

“Baki penggantungan dua lagi perlawanan yang dikenakan ke atas pemain ini adalah berkuat kuasa serta-merta pada perlawanan rasmi pemain ini yang pertama dan kedua di perlawanan Liga-M (Liga Super/ Liga Premier/ Piala Sumbangsih/ Piala FA/ Piala Malaysia/ Challenge Cup) yang berikutnya.

“…sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM, MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan AFL (Liga Bola Sepak Amatur) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan,” kata Dr Baljit Singh.

Beliau berkata Safiq juga diberi amaran keras dan berdepan hukuman yang lebih berat jika mengulangi kesalahan sama, namun hukuman dikenakan terhadapnya itu boleh dirayu.

Sumber: AWANI