FAM Jalin Kerjasama Dengan Juventus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Potensi jalinan kerjasama yang termeterai antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama gergasi Serie A, Juventus bakal memperkasa pembangunan akar umbi dan belia bagi bola sepak negara.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menerima kunjungan hormat daripada Juventus semalam memaklumkan skuad Bawah 17 tahun (B-17) berpeluang menjalani latihan di akademi Juventus yang berpangkalan di Turin.

“Juventus berminat dan meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat remaja. Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia.

“Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia. Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.

“Juventus FC juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin,” kata Hamidin.

Dalam kunjungan hormat itu, delegasi Juventus diwakili Pengarah Urusannya, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung.

Dalam perkembangan sama, Hamidin juga menyatakan juara Eropah dua kali itu turut juga meninjau potensi untuk membuka akademinya di Malaysia menerusi perbincangan awal yang dilakukan.

“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.

“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN