FAM Perlu Segerakan MProRS

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur – Sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyegerakan pengadil Profesional yang pernah diumumkan sebelum ini iaitu dengan mewujudkan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) pada 2020 lalu.

Bagaimanapun, MProRS yang seharusnya dijalankan pada musim 2021 terpaksa ditangguhkan oleh FAM ekoran penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan perjalanan saingan Liga Malaysia (Liga M).

Gesaan untuk mengadakan kembali MProRS turut disambut baik beberapa pasukan Liga M yang percaya masalah mutu pengadilan akan dapat diatasi sekali gus, mengelak daripada menjadi mangsa kesilapan pengadil seperti mana yang berlaku ke atas pasukan Sri Pahang FC.

Antara yang menyeru agar ia diwujudkan kembali ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard yang menganggap ia adalah jalan keluar terbaik untuk mengatasi kelemahan mutu pengadil tempatan.

Katanya, kewujudan pengadil profesional dilihat lebih realistik buat masa ini sebelum memikirkan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang jauh lebih mahal kosnya.

“Jika dilihat secara holistik, saya setuju pengadil profesional ini diadakan bagi memastikan perjalanan liga kita tidak diganggu dengan isu-isu kelemahan pengadil ketika mengendalikan perlawanan.

“Kita tahu apabila adanya pengadil profesional, mereka perlu mempamerkan mutu dan kualiti pengadilan yang terbaik selaras dengan sistem gaji yang lebih baik, akan kerap menjalani kursus-kursus untuk meningkatkan kemahiran serta program-program yang akan mereka sertai secara sepenuh masa.

“Tapi sebelum untuk melaksanakannya, badan pengadil profesional itu sendiri harus diasingkan daripada FAM, ibarat putih kena jadi lagi putih, seperti mana yang diamalkan negara-negara maju bola sepak yang mewujudkan pengadil profesional ini.

“Tetapi suka saya tekankan, sejak beberapa tahun lalu kita kena akui ramai juga pengadil tempatan yang berkembang maju dan menunjukkan kredibiliti mereka. Cuma mungkin kelemahan-kelemahan ini berlaku kerana Liga M baru saja bermula dan mungkin beberapa minggu akan datang ia akan bertambah baik,” kata ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, pada 2020 lalu FAM sudah menyenaraikan pendek enam pengadil tempatan iaitu Muhammad Nazmi Nasaruddin, Mohd Yaasin Mohd Hanafiah, Zulkarnain Zakaria, Muhammad Faizuddin Ismail, Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.

Keenam-enam calon itu akan dinilai prestasi mereka dalam saingan Liga M sebelum dua pengadil terbaik akan ditawarkan kontrak untuk bergelar pengadil profesional pertama Malaysia.

Dua pengadil bertuah itu akan menikmati imbuhan lumayan kira-kira hampir RM500,000 setahun termasuk kos pengurusan dan pentadbiran.

Terdahulu, beberapa siri kelemahan pengadil dalam aksi Liga Super menyaksikan beberapa pasukan termasuk Sri Pahang FC tampil secara rasmi menghantar notis aduan kepada FAM terhadap kelemahan mutu pengadilan.

Skuad Tok Gajah seolah ‘dirompak’ oleh pengadil perlawanan selepas dua kali dinafikan kemenangan ekoran kesilapan pengadil perlawanan.

Sumber: HARIAN METRO