Pekan: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang bakal membantu memasarkan lebih 300 tan labu manis diusahakan 145 pekebun di tiga kampung di daerah ini.
Pengarahnya, Noh Nik Wan berkata, musim lalu pihaknya hanya membantu memasarkan 250 tan labu manis atau labu emas 868 membabitkan kawasan tanaman seluas lebih 170 hektar.
Beliau berkata, faktor pertambahan pengeluaran buah selain kesanggupan pekebun menjual hasil kepada Fama musim ini membolehkan pihaknya membantu memasarkan hasil pertanian berkenaan.
“Seramai 145 pekebun di Kampung Pandan, Kampung Serun dan Kampung Merchong adalah peserta ladang kontrak pemasaran Fama Pahang dan setiap tahun hasil tanaman mereka dijual kepada kami.
“Pada musim kali ini, Pusat Khidmat Pemasaran Fama Kuantan menerima 10 hingga 11 tan labu pada setiap dua minggu untuk dipasarkan kepada peruncit serta pemborong dalam dan luar Pahang.
“Setiap pekebun ladang kontrak pemasaran dibekalkan dengan bekas jaring hijau untuk mengisi 20 kilogram labu sebelum dipindahkan ke lori,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan aktiviti pemasaran labu manis oleh beberapa pekebun di Kampung Pandan dan Kampung Merchong, di sini, semalam.
Hadir sama, Pegawai Fama Daerah Pekan, Noor Hasbah Omar dan Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran Fama Kuantan, Faris Abdullah.
Sementara itu, pengusaha labu manis seluas dua hektar, Azlina Abu Bakar, 34, berkata, tanpa bantuan Fama dia mungkin menanggung kerugian setiap tahun.
Menurutnya, pada musim kali ini, dia mampu mengutip hasil 25 tan labu manis dan hampir semuanya dijual kepada Fama.
Sumber: My Metro