KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk memperhalusi semula langkah bagi mengumumkan fasa ‘Peralihan ke Endemik’ sehingga mendapat maklumat lanjut berhubung varian baharu COVID-19, Omicron.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun belum ada kes membabitkan varian Omicron di Malaysia, tindakan berhati-hati perlu dilaksanakan berikutan varian itu dilaporkan sangat pantas dan mudah berjangkit.
“Sebelum ini, kita memutuskan kemungkinan mengumumkan fasa ‘Peralihan ke Endemik’ namun dihentikan seketika untuk melihat perkembangan varian Omicron yang menular ke seluruh dunia.
“Kita bimbang semua yang dirancang dan yang diumumkan dalam masa terdekat seperti kelonggaran, prosedur operasi standard (SOP) dan tujuh asas menuju fasa endemik mungkin terjejas jika kita tidak memantau varian ini secara dekat dan menanganinya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19, berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Parlimen, hari ini.
Pada 16 November lalu, Hishammuddin memaklumkan tujuh asas yang perlu dipenuhi dalam pendekatan menyeluruh yang diambil kerajaan sebagai persediaan memasuki fasa endemik.
Ia merangkumi SOP dan sembilan garis panduan; Sistem Amaran dan Tindakan (HAS) dan Strategi Ujian Kebangsaan; Test, Report, Isolate, Inform, Seek (TRISS); Automated Find, Test, Trace, Isolate, Support (FTTIS); pembukaan sempadan negara secara berperingkat dan mencari duta pemerkasaan komuniti.
Hishammuddin berkata, kawalan sempadan antarabangsa akan diperketat ke atas negara yang melaporkan penyebaran varian Omicron.
Katanya, mandat diberi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menentukan tindakan selanjutnya berhubung keluar masuk sempadan serta SOP yang akan diumumkan.
Beliau berkata, mesyuarat kuartet turut mengambil maklum mengenai destinasi lain yang berpotensi bagi Laluan Perjalanan Lengkap (VTL) seperti Singapura ke Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak akan membuat keputusan sehingga mengetahui kesan sebenar varian Omicron.
“Saya sudah minta semua pihak untuk terus memikirkan dan berbincang dengan pihak yang berkenaan.
“Saya harap semua pihak sentiasa berwaspada dan jangan mengambil risiko ketika kita memantau varian yang menular ini,” katanya.
Mengenai permintaan pemimpin negara Afrika supaya rakyat mereka tidak dihalang masuk ke negara lain susulan penularan Omicron di negara itu, Hishammuddin berkata, pendirian Malaysia sama seperti beberapa negara lain iaitu bersandarkan risiko keselamatan dan bukan geopolitik atau hubungan dua hala.
“Saya percaya negara Afrika faham yang ia bukan mengenai isu diplomasi dan geopolitik tetapi kesihatan. Kita tidak akan menjejaskan tindakan yang kita lakukan selama setahun setengah dengan tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sumber: Berita Harian