KUALA BERANG – FELCRA Berhad sedang mencari kaedah terbaik bagi membantu 20,000 pesertanya yang tidak mendapat hasil daripada aktiviti pembangunan disebabkan faktor tanah yang tiada keberhasilan.
Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata masalah itu berpunca daripada peraturan dan polisi agensi itu sebelum ini yang menetapkan bahawa setiap tanah yang diserah oleh peserta untuk dibangunkan tidak boleh ditolak permohonannya walaupun tanah gersang.
Beliau berkata antara kaedah penyelesaian yang difikirkan sesuai ialah pembangunan tanah baharu untuk peserta namun ia memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri di kawasan terlibat untuk direalisasikan.
“Saya amat bersimpati dengan peserta FELCRA yang rata-ratanya berpendapatan kecil dan tidak pula layak menerima dividen kerana tanah mereka yang kita usahakan tiada keberhasilan.
“Jadi di bawah Pelan Transformasi FELCRA Berhad 2.0 ini, kita akan beri penekanan kepada peserta yang tidak bernasib baik. Perbincangan sedang dijalankan di peringkat pengurusan untuk kita cari penyelesaian terbaik,” katanya.
Ahmad Jazlan berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia FELCRA Berhad di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mat Roni Zakaria.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata FELCRA Berhad akan mula mengagihkan bayaran dividen kepada pesertanya bulan depan.
Beliau berkata jumlah bayaran dividen pada tahun ini dijangka berkurangan berbanding tahun lepas disebabkan penurunan harga minyak sawit mentah.
“Jumlah dividen belum dapat ditentukan kerana ibu pejabat sedang lihat berapa peserta terlibat, yang pasti jumlahnya kurang sedikit berbanding tahun lalu iaitu tertinggi dalam sejarah tetapi masih lagi tinggi kerana kita akan dapatkan purata harga sekitar RM5,000 satu tan,” katanya.
Menurutnya jumlah peserta FELCRA di seluruh negara ialah seramai 108,000 orang melibatkan kawasan tanaman sekitar 205,000 hektar.
Sumber : BERNAMA