Sepang: Ibarat rezeki bergolek apabila berlaku fenomena `udang mabuk’ menyebabkan penduduk di Kampung Olak Lempit di sini, mampu memperolehi tangkapan udang galah dalam jumlah luar biasanya.
Kejadian berlaku sejak Isnin minggu lalu itu membolehkan penduduk menikmati rezeki tambahan ketika berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Udang galah itu dikesan memenuhi Sungai Langat berdekatan kampung itu sekaligus menarik perhatian penduduk untuk menangkapnya.
Peniaga gerai makan, Samsudin Wagimam, 58, berkata, kejadian udang galah timbul itu berlaku dua hingga tiga kali setahun ketika musim hujan.
“Pada masa itu paras air Sungai Langat yang mengalir dari arah Hulu Langat dan Semenyih akan meningkat.
“Keadaan ini menjadi punca fenomena digelar ‘udang mabuk’ apabila hidupan sungai ini mudah ditangkap menggunakan pelbagai cara seperti jala, penyauk, pancing dan mengutipnya menggunakan tangan,” katanya tadi.
Menurutnya, fenomena itu sudah tiga kali berlaku tahun ini dan memberi rezeki kepada penduduk.
“Udang galah yang ditangkap ini kebanyakannya digunakan untuk hidangan sekeluarga. Hanya sebahagiannya dijual kepada peraih pada harga RM20 sekilogram,” katanya.
Bagi penduduk kampung, Bahari Kamarulzaman, 53, dia mampu memperolehi lebih 10 kilogram (kg) udang galah dengan hanya memancing di sungai itu.
Menurutnya, kesemua hasil tangkapan itu adalah untuk dimasak dan dimakan bersama keluarga.
Sumber: My Metro