MANCHESTER – Bruno Fernandes dilantik sebagai kapten baharu Manchester United menggantikan Harry Maguire.
Sepanjang musim lalu, Maguire lebih kerap memanaskan bangku simpanan dan Fernandes diberi kepercayaan oleh Erik ten Hag untuk memakai lilitan kapten.
United mengesahkan pelantikan Fernandes ketika jelajah pra-musim di Amerika Syarikat.
“Bruno Fernandes dinamakan sebagai kapten baharu Manchester United. Pemain tengah Portugal itu sudah beberapa kali memakai lilitan kapten untuk United dan Erik ten Hag mengesahkan yang dia kini akan mengetuai pasukan secara tetap,” kata kelab itu.
Fernandes memainkan peranan sebagai kapten musim lalu apabila Maguire tercicir daripada kesebelasan utama, mengetuai pasukan itu dalam 45 perlawanan.
Fernandes memulakan 37 perlawanan Liga Perdana Inggeris berbanding hanya sembilan oleh Maguire.
Fernandes turut membuktikan kemampuannya sebagai pemimpin di atas padang kepada Ten Hag, sama ada ketika memakai lilitan kapten atau tidak, menerusi pengalaman dan komunikasinya dengan rakan sepasukan.
Ten Hag juga kagum dengan kualiti dan kesungguhan ditunjukkan Fernandes, walaupun ada masanya ia tidak membuahkan hasil seperti ketika mereka dibelasah 7-0 oleh Liverpool di Anfield pada Mac.
Pengendali dari Belanda itu juga mempunyai beberapa pemain lain yang mampu menerajui pasukan, antaranya Casemiro, Lisandro Martinez, Christian Eriksen dan Raphael Varane.
Fernandes meledak 64 gol dan melakukan 54 umpanan gol dalam 185 perlawanan untuk United sejak menyertai kelab itu dari Sporting Lisbon pada tahun 2020. Dia turut memenangi anugerah Pemain Terbaik Sir Matt Busby sebanyak dua kali.
– BERITA HARIAN