Festival Kraf Pantai Timur (FKPT) 2024 Terima Sambutan Memberangsangkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Festival Kraf Pantai Timur 2024 anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bermula 22 Mei lalu telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada pengunjung di dua lokasi penganjuran iaitu di Kuantan dan Kemaman.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang,  Juhari Azmi berkata , sejak penganjuran itu berlangsung, ramai pengunjung rata-rata teruja apabila dapat melihat dan merasai sendiri proses untuk menghasilkan seni produk kraftangan serta sangat menghargai nilai kraftangan yang terdapat di sini.

“Jadi, pelbagai produk kraf yang kita pamerkan dan pelbagai produk baharu yang ditampilkan oleh para usahawan kepada para pengunjung dan pembeli produk kraf yang hadir.”

“Kita harapkan dengan adanya pelbagai produk baharu ini dapat menampilkan imej-imej produk kraf Malaysia yang cantik dan indah yang disukai oleh para pengunjung yang hadir.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada FKPT 2024 yang berlangsung di East Coast Mall (ECM), Kuantan pada Rabu.

Pelbagai program dan aktiviti turut berlangsung pada festival ini antaranya, jualan kraf, pameran produk kraf, demonstrasi penghasilan kraf, Jualan Produk Kraf, Canutan Bertuah dan pelbagai lagi aktiviti menarik.

Beliau turut berharap masyarakat di seluruh Malaysia boleh datang ke Festival ini sementara masih berbaki beberapa hari lagi bagi menyaksikan sendiri produk-produk seni kraftangan yang baharu dipamerkan oleh usahawan-usahawan di sini.

– UNIT BERITA MANIS FM