FIFA arah Pahang bayar RM4.9 juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan pasukan Pahang untuk membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada bekas pemainnya, Mohamadou Sumareh dalam tempoh 45 hari sekiranya tidak mahu dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain.

Keputusan FIFA itu susulan aduan rasmi yang dikemukakan oleh Sumareh selepas dia tidak dibayar gaji selama beberapa bulan yang menyaksikan klausa 8.7 diaktifkan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan perkara itu selepas menerima salinan keputusan yang diserahkan FIFA kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dua hari lalu.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, PBNP boleh membuat rayuan berhubung keputusan kes terbabit.

“Mereka ada 45 hari bukan dari tarikh keputusan, tapi pihak Sumareh kena keluarkan notis butiran akaun bank kepada Pahang, selepas itu baru 45 hari itu bermula.

“Sekiranya pasukan Pahang tak bayar dalam masa 45 hari, automatik ‘transfer ban’ (tidak boleh ambil pemain baharu) untuk jendela perpindahan akan datang. Mungkin jendela perpindahan kedua tahun ini.

“Selepas itu, jika masih tidak bayar perkara itu akan dibawa ke bahagian tatatertib FIFA. Saya ada juga baca mengenai hukuman tolak mata, tapi keputusan tolak mata itu hanya selepas ia ke tatatertib.

“Tapi pada masa yang sama perkara ini buat rayuan mengikut beberapa langkah iaitu dalam tempoh 10 hari daripada notis keputusan, pihak Pahang kena minta terma-terma keputusan.

“Selepas itu Pahang boleh buat rayuan ke CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan). Bagaimanapun, jika tidak meminta ‘grounds of decision’, FIFA menganggap PBNP setuju dengan keputusan dan tidak boleh dirayu,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Sumareh memilih untuk melaporkan terus kepada FIFA dengan tidak melalui FAM berhubung isu tunggakan gajinya.

Lantas, kes berkenaan tidak lagi boleh diteruskan di peringkat domestik meskipun status Sumareh ketika ini adalah pemain tempatan.

Sumber: My Metro