Founder Produk Ghairah Buat Marketing Melampau, Adakah Dibenarkan Dalam Islam?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sejak kebelakangan ini, usahawan mahupun influencer yang menjual produk di laman sosial sanggup melakukan apa sahaja termasuklah mencetuskan kontroversi dalam usaha memperkenalkan nama atau jenama masing-masing.

Kini, sering kita dengar istilah bad marketing is good marketing sudah menjadi kebiasaan demi memastikan produk yang dijual laris selain jenamanya dikenali ramai. Dapat kita lihat juga, pemasaran cara menghina dan memaki hamun orang lain, provokasi, membuat kenyataan dan aksi kurang sopan serta lucah dilihat sudah menjadi keselesaan bagi mereka.

Walaupun perbuatan-perbuatan tersebut diketahui tidak elok, namun mereka beranggapan bahawa ianya masih satu bentuk pemasaran untuk perniagaan mereka kerana perbuatan tersebut akan memberi publisiti kepada mereka. Inilah yang menjadi tanggapan mereka, bad marketing is good marketing. Jadi, adakah strategi ini dibenarkan dalam Islam?

Menurut penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah, seorang peniaga muslim mestilah mengamalkan cara hidup hidup Islam yang menyeluruh termasuklah dalam perkara yang melibatkan pemasaran produk mereka. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah, 208)

Luqman berkata, para ulama menerangkan ayat di atas menuntut seorang muslim untuk sentiasa mengamalkan cara hidup Islam yang menyeluruh, melakukan segala suruhan Allah dan tidak meninggalkan perkara yang dilarang.

Dalam konteks permasalahan ini, seorang peniaga perlu berhati-hati dalam memastikan pemasaran yang ingin dilakukan mestilah mengikut apa yang digariskan syarak.

Asal hukum bagi muamalat adalah harus selagi tidak melibatkan perkara-perkara yang haram. Ini adalah berdasarkan kaedah berikut:

Maksudnya: “Hukum asal bagi perkara berkaitan muamalat adalah harus kecuali ada dalil atau perkara diharamkan syarak.”

Jelas Luqman, antara perkara yang perlu diambil perhatian ketika melakukan aktiviti pemasaran adalah peniaga perlu elakkan daripada mengaibkan atau melaknat orang lain, mencarut serta menjaga setiap percakapan daripada perkataan yang buruk dan keji. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW:

Maksudnya: “Seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain, bukan daripada golongan yang melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut, dan bukan juga daripada golongan yang suka berkata-kata keji dan buruk.” (Riwayat Tirmizi, 1977)

Selain itu, peniaga juga dituntut untuk menjaga kehormatan diri dengan tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah diri seperti menuturkan serta menggayakan aksi dan pakaian tidak sopan dan sebagainya.

“Islam tidak menghalang apa-apa daya kreativiti peniaga untuk melakukan pelbagai kaedah pemasaran bagi meraih keuntungan. Namun begitu, kreativiti itu mestilah dalam rangka yang dibenarkan syarak.”

“Asal hukum berkaitan pemasaran adalah harus selagi tidak melibatkan atau melakukan perkara yang haram. Justeru, konsep bad marketing is good marketing adalah tidak wajar untuk dilakukan seorang peniaga muslim kerana tidak bertepatan dengan syarak,” jelasnya.

Sumber: MSTAR