LONDON – Tyson Fury menegaskan “wang sebanyak mana pun” tidak akan memujuknya kembali ke gelanggang selepas juara heavyweight WBC itu bersara berikutan kemenangan mengatasi Dillian Whyte.
Fury menewaskan rakan senegara dari Britain, Whyte pada pusingan keenam Sabtu lalu untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kariernya.
Petinju berusia 33 tahun itu tekad menggantung sarung tangan tinjunya selepas mempertahankan gelaran di depan 94,000 peminat di Wembley.
Bagaimanapun spekulasi bertiup kencang bawa dia akan dipujuk untuk kembali bertarung sama ada menentang juara WBA, IBF dan WBO, Oleksandr Usyk atau Anthony Joshua dengan pertemuan semula dijadualkan musim panas ini.
Fury menolak khabar angin itu ketika temubual bersama Piers Morgan di TalkTV semalam.
“Ini adalah yang sebenarnya, yang pasti, tiada apa yang sebenarnya melainkan ini. Saya tamat di sini,” katanya.
“Bilakah cukup itu menjadi cukup? Saya gembira, saya sihat, saya masih ada otak, saya masih boleh bercakap. Saya ada isteri yang cantik, saya ada enam anak.
“Saya ada banyak tali pinggang, saya ada banyak wang. Saya ada kejayaan, kemasyhuran. Apa lagi yang saya mahukan?
“Tinju ialah sukan yang sangat bahaya, anda boleh tumbang hanya dengan satu tumbukan seperti yang kita lihat pada Sabtu, dan ia hanya perlukan satu tumbukan tidak bernasib baik dan anda mungkin tidak mampu lagi bangun dari kanvas.”
Sumber: BERITA HARIAN