Gagal Kawal Keadaan Angin Punca Zii Jia Tersungkur

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui ia permulaan musim 2023 yang buruk buat dirinya selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini.

Pemain nombor dua dunia itu terpaksa akur apabila tewas di tangan bintang meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka 21-13, 17-21, 19-21.

Zii Jia, 25, berkata corak permainan dimiliki Naraoka jelas memberikan kelebihan buat lawan itu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan angin di Arena Axiata Bukit Jalil.

“Memang kecewa tetapi apa yang saya ada hari ini, saya sudah cuba. Ini adalah keputusannya, apa lagi yang boleh saya cakap, saya fikir ia adalah permulaan yang buruk untuk tahun 2023.

“Sangat mencabar untuk mengawal keadaan angin bukan saja saya tetapi bagi pemain lain juga. Sudah tentu Kodai mempunyai kelebihan dalam perlawanan ini kerana dia lebih bersabar dan lebih defensif,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Ini adalah kali ketiga juara Asia itu tersingkir awal di laman sendiri selepas turut mengalami ‘mimpi ngeri’ yang sama pada 2019 dan 2022.

Pada 2019 dia tewas di tangan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon di pusingan pertama sebelum kecundang kepada Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia di pusingan kedua tahun lalu.

Kekalahan Zii Jia menyaksikan Naraoka akan bertemu seorang lagi pemain negara, Ng Tze Yong untuk aksi pusingan kedua, esok.

Tze Yong mengesahkan kemaraan selepas menewaskan pemain Ireland, Nhat Nguyen 21-4, 21-10.

Sumber : BERITA HARIAN