Pekan: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Perumpamaan yang sesuai menggambarkan kegiatan empat individu yang menebang dan memindahkan balak secara haram di kawasan hutan negeri dekat Kampung Perlak, Mukim Penyor di sini.
Mereka yang berusia 30 hingga 36 tahun ditahan semalam dalam operasi membabitkan 21 anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) termasuk daripada Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, serbuan dibuat kira-kira 4 petang selepas memperoleh maklumat mengenai kegiatan itu yang didalangi dua suspek yang menjadi buruan sebelum ini.
Katanya, dua suspek itu dikesan terbabit kegiatan pemindahan balak haram di beberapa daerah sebelum ini dan licik bertindak
“Tetapi akhirnya mereka tumpas dan berjaya ditahan semalam. Dalam operasi itu, kawasan terbabit yang terletak empat kilometer dari jalan utama dikepung selepas terdapat tanda ia menjadi laluan keluar masuk kenderaan berat.
“Empat individu tergamam melihat anggota penguat kuasa dan tidak sempat melarikan diri. Semua mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1) (Akta 313) Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya di sini, hari ini.
Nor Azirim berkata, pihaknya turut menyita dua jengkaut dan masing-masing sebuah lori balak dan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.
Turut ditemui tukul tanda harta yang dipercayai telah dibuat semula.
Menurutnya, pihaknya percaya sindiket itu sudah berada di dalam hutan selama lima hari namun, mula menebang pokok kelmarin dan usaha pemindahan dibuat secara berperingkat mulai hari ini.
“Pemeriksaan menemui lebih 30 tual balak pelbagai jenis seperti kelat, kedondong dan sesenduk bernilai lebih RM3,000. Usaha menentukan jumlah pokok yang ditebang akan dilakukan.
“Kali terakhir JPNP mengesan kegiatan pemindahan balak, dua minggu lalu di Hutan Simpan Lepar selepas menahan dua lori membawa 54 tual balak pelbagai jenis bernilai RM30,000 di Jalan Kuantan-Maran. Dua dalang berjaya meloloskan diri,” katanya.
Jelasnya, pihaknya sedang giat mengesan mereka dengan seorang daripada ahli sindiket itu dipercayai aktif kegiatan berkenaan serta mahir dalam penebangan haram.
Sumber: My Metro