Gajah ancam penduduk

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: “Sudah empat malam berturut-turut sekumpulan gajah liar, memasuki kampung kami dan merosakkan tanaman.

“Lebih risau lagi gajah berani datang berhampiran rumah penduduk, cuma kira kira 500 meter sahaja,” kata Mohd Nazir Jamaludin.

Katanya, penduduk Kampung Doja kini resah dengan kehadiran sekumpulan gajah liar itu yang dipercayai tiga atau empat ekor berdasarkan tapak kaki dan najis ditinggalkan.

Menurutnya, setakat ini, tiga pemilik kebun mengalami kerugian apabila gajah itu memakan tanaman mereka.

“Setakat ini kebun pisang seluas 0.4 hektar musnah, gajah liar turut musnahkan pokok kelapa sawit serta pondok dalam kebun.

“Selain itu gajah itu turut membunuh seekor lembu dan seekor lembu lagi patah kaki,” katanya.

Beliau berkata, gajah itu dipercayai datang dari hutan sekitar Pulau Tawar berhampiran sungai Salan.

Katanya, gajah itu hanya muncul sebelah malam dan memasuki kebun yang sama.

Beliau berkata, apa yang mereka risau gajah itu semakin berani menghampiri rumah penduduk dan bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, penduduk di situ tidak ramai dalam 20 buah rumah dan terletak berjauhan.

Menurutnya, itu adalah kejadian kedua gajah berkenaan memasuki kampung berkenaan.

“Kami berharap Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak segera menghalau atau menangkap gajah berkenaan bagi keselamatan penduduk kampung,” katanya.

Sumber: My Metro