Gajah Musnahkan Penempatan Orang Asli Kampung Yong

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JERANTUT – Penduduk Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Yong, di sini, berdepan detik cemas apabila seekor gajah liar telah merobohkan sebahagian rumah mereka, minggu lalu.

Aswan Jamal, 48, berkata, kejadian berlaku pada 8 malam ketika mereka sekeluarga sedang berehat, sebelum dikejutkan dengan gegaran di bahagian rumah.

Katanya, selepas meninjau di luar rumah dia ternampak seekor gajah sedang menggoyangkan rumah didiami empat beranak itu.

“Saya meminta isteri dan anak lari menyelamatkan diri, namun secara tiba-tiba isteri pengsan menyebabkan saya terpaksa mendukungnya.

“Kami lari ke kawasan tebing sungai kerana risau dengan serangan itu walaupun keadaan ketika itu sangat gelap kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, sebaik pulang ke rumah keesokan harinya, dia mendapati dapur rumah yang diperbuat daripada buluh dan kayu rosak dan tumbang.

Menurut Aswan, gajah terbabit dipercayai menyelongkar bahagian dapur untuk mencari makanan terutama garam.

Sementara rakannya Ardi Buyong, 52, berkata, serangan itu menyebabkan banyak rumah penduduk rosak.

Katanya, sebelum ini, gajah hanya memusnahkan tanaman penduduk seperti ubi kayu dan pisang sahaja.

Menurutnya, pada malam kedua penduduk membuat unggun api bagi mengelakkan gajah datang, namun haiwan liar tersebut tetap kembali menyelongkar rumah lain untuk mencari makanan.

“Setakat ini lapan rumah sudah dirosakkan gajah liar tersebut menyebabkan kami tidak berani untuk duduk di situ.

“Kami telah berpindah ke penempatan sementara di Tanjung Tekah di seberang Sungai Tembeling bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku terutama kepada anak kami.

“Kami berterima kasih kepada Bird Group Taman Negara kerana menghantar bekalan makanan dan khemah untuk kami berlindung, pada ketika kejadian itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris turut melawat dan bertanya khabar mereka. Barangan keperluan seperti tilam, bantal dan selimut serta makanan turut diberikan kepada mereka, hari ini.

Turut hadir sama iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Ketua Kampung Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahman.

Ahmah Nazlan berkata, beliau cuba mencadangkan supaya mereka berpindah ke kawasan baharu dan kerajaan akan membuat penempatan khas untuk mereka.Namun mereka lebih senang tinggal di situ dengan alasan senang hendak mencari makanan.

Sumber: HARIAN METRO