Pasir Mas: Gaji murah selain rajin bekerja menjadi faktor majikan di negeri ini memilih warga asing terutama dari Thailand sebagai pekerja mereka.
Malah, warga asing dikatakan tidak banyak kerenah selain tidak meminta gaji keterlaluan jika dibandingkan dengan penduduk tempatan.
Atas faktor berkenaan, majikan terbabit sanggup menggunakan orang tengah atau ‘transporter’ untuk menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini melalui pangkalan haram, memandangkan Malaysia belum membuka pintu sempadan.
Malah, terdapat segelintir majikan dikatakan sanggup menanggung caj kemasukan Pati terbabit kerana tindakan itu disifatkan berbaloi.
Pemilik kedai makan mahu dikenali sebagai Hassan, 38, berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu, dia berdepan masalah pekerja kerana kebanyakan pekerjanya dari Thailand.
“Ketika PKP pada Mac tahun lalu, ramai pekerja saya pulang ke Thailand. Sejak itu terutama ketika kedai makan sudah dibenarkan beroperasi, saya berdepan masalah tidak cukup pekerja.
“Bukan tidak berminat dengan pekerja tempatan, namun kebanyakan mereka tidak bertahan lama dan lebih meminta gaji mahal.
“Sebagai contoh untuk tukang masak dari Thailand, saya membayar gaji harian RM50 hingga RM60 sehari, namun jika penduduk tempatan, mereka meminta sehingga RM100 sehari,” katanya.
Beliau berkata, selain masakan tukang masak dari Thailand lebih sedap, mereka lebih rajin dan tidak berkira untuk bekerja lebih masa.
Katanya, disebabkan dia sanggup menggunakan khidmat orang tengah untuk membawa masuk pekerja dari Thailand dengan bayaran RM250.
Sementara itu, pemilik kedai pembekal bahan binaan dikenali sebagai Malek, 42, turut mengakui faktor berkenaan menyebabkan dia lebih senang menggaji warga asing.
“Saya mempunyai lima pekerja iaitu tiga warga tempatan dan dua warga Thailand. Bagi saya warga Thailand lebih rajin dan komited ketika bekerja,” katanya.
Terdahulu, NSTP melaporkan, hanya bayaran RM250 dikenakan kepada Pati dari Thailand yang mahu menyeludup masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.
Jumlah itu dikatakan perlu dibayar kepada ‘transporter’ sebelum warga Thailand itu dibawa masuk ke Kelantan menerusi pangkalan haram.
Permintaan untuk warga Thailand dikatakan mendapat sambutan menggalakkan memandangkan sektor ekonomi di Malaysia sudah dibuka seperti biasa.
Sumber: My Metro