KUALA TERENGGANU – Gangguan bekalan air melibatkan 30 kawasan di daerah ini sejak Jumaat berikutan masalah paip pecah dijangka pulih pada jam 7.30 malam Ahad (3 April).
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), Abdul Karim Endut berkata, bekalan air terganggu selepas paip berukuran 413 milimeter di Pulau Kambing melibatkan tangki Bukit Kecil pecah pada Jumaat dan ia siap dibaiki pada jam 12 malam.
“Walau bagaimanapun, paip kedua berukuran 600 mm yang terletak kira-kira 50 meter dari paip pertama pula dikesan pecah pada 2 April. Kerja-kerja pembaikan paip ini sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Abdul Karim, bekalan air akan pulih secara berperingkat pada Ahad dan tempoh masa pemulihan adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Beliau berkata, sebanyak enam buah lori tangki air dan 13 buah tangki statik digerakkan secara berperingkat ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Kita harap orang ramai dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air dari lori-lori tangki ini,” katanya.
Sementara itu Abdul karim berkata, masalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang sering berlaku melibatkan tangki Bukit Kecil dijangka selesai bulan depan selepas Loji Rawatan Air Baharu (LRA) Losong 44 JLH mula beroperasi pada Mei.
“Kerja-kerja pembinaan LRA Losong berkapasiti 44 JLH kini sudah mencapai 99.8 peratus dan berada di fasa terakhir.
Sumber: SINAR HARIAN