KUALA LUMPUR: Sekalipun ‘merobohkan’ Tembok Besar China dengan kemenangan 1-0 pada aksi pertama di Shanghai semalam, pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido menuntut lebih lagi daripada anak buahnya.
Jaringan minit akhir Harith Haiqal Adam Afkar membolehkan Harimau Malaya B-23 mengejutkan skuad China B-23 sekali gus menjadi bekalan terbaik menjelang aksi kedua berdepan lawan sama, Selasa ini.
Tegasnya, beberapa kekurangan didedahkan lawan pada kemenangan terbabit, justeru dia mengharapkan anak buahnya dapat tampil dengan aksi yang lebih kemas ketika dia menjangkakan aksi lebih sukar bakal dihadapi kerana turun berdepan lawan sama.
“Menentang pasukan yang sama untuk kali kedua adalah satu perlawanan yang sukar, jadi kita perlu fokus dan perbaiki kekurangan yang ada daripada kemenangan pertama sebelum ini.”Kita perlu menjadi lebih baik khususnya dari segi serangan dan kita perlu kerap kali berada dalam kawasan lawan selain perlu lebih kompak secara keseluruhan.
“China sememangnya satu ujian yang baik kerana kita akan berdepan pertandingan yang lebih sukar selepas ini. Kita perlu menjadi lebih baik dari sehari ke sehari,” kata Garrido.
Sebagai rekod, dua aksi persahabatan berdepan skuad China B-23 ini sebagai persiapan skuad negara bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.
Pada saingan itu, skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut diundi dalam kumpulan sama.
– BERITA HARIAN