Sebelum saya berkongsi pendapat saya berkenaan dengan kaitan swafoto dan penyakit al-‘ain saya ingin menafikan terlebih dahulu yang saya menolak teknologi dan gaya hidup terkini secara total.
Saya juga pernah menggunakan kamera hadapan pada telefon pintar saya sendiri beberapa kali sebelum ini namun sejak saya membaca berkenaan isu wabak swafoto yang semakin menjadi kegilaan ramai orang, saya merasakan ada sesuatu yang perlu saya lontarkan untuk kita semua termasuk diri saya berfikir dan memuhasabah diri.
Swafoto bermaksud mengambil gambar diri sendiri dengan menggunakan kamera pada bahagian hadapan skrin telefon pintar. Semenjak kemunculan produk telefon pintar yang memiliki kamera hadapan, gejala ini tidak dapat dinafikan menjadi trend sehinggalah sekarang.
Sementara itu, dalam perspektif Islam, hal swafoto ini dipandang sebagai suatu yang bersifat harus selagimana niat yang disandarkan itu benar-benar ada objektif yang menepati syarak.
Tujuan dari kita mengambil gambar secara swafoto mestilah tidak sehingga mendatangkan perasaan riak dan takabbur. Sebab sudah ramai ahli psikologi yang mengkaji bahawa swafoto yang berlebihan boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam penyakit narsistik iaitu berasa diri mereka istimewa yang perlu mendapat perhatian ramai.
Kita tahu sejak kemunculan media sosial, usaha untuk menaikkan diri sendiri dari segi ‘mempromosikan diri’ sudah tidak perlukan saluran arus perdana seperti di pentas televisyen, papan iklan, iklan radio dan seumpamanya.
Kini semua orang boleh memperkenalkan diri masing-masing dengan naratif yang tersendiri di dalam media sosial. Maka tidak hairanlah gejala narsisisme kian meningkat saban tahun.
Sebenarnya persepsi saya berkenaan kaitan swafoto dengan gejala narsistik bukanlah dibangunkan oleh akal saya semata-mata namun ia di dokong juga dengan pendapat Dr Zul Azlin Razali dalam bukunya “Depresi : Terpuruk Rasa Ingin Mati” dalam bab – hulurkan tongkat narsismu. Maka sebelum kita ingin berswafoto pastikan dahulu niatnya itu benar-benar telah suci bersih dari dinodai dengan penyakit hati seperti riak.
Sabda Nabi saw :
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Menurut Istilah, terdapat beberapa definisi yang diberikan:
Telah berkata Imam al-Nawawi:
“Niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya (wajib)”. (Lihat: al-Majmu’, 310/1)
Telah berkata Ibn Abidin:
“Niat adalah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan perbuatan”. (Lihat: Rad al-Mukhtar – (105/1)
Para ulama’ usul telah membentuk satu kaedah fekah berdasarkan hadis ini sebagaimana yang disimpulkan sebagai :
“Setiap perkara itu berdasarkan (dinilai) tujuan-tujuannya”.
Maksudnya disini, apa sekalipun tingkah laku dan perbuatan kita akhirnya hukuman Allah SWT di akhirat nanti akan dinilai berdasarkan niat yang ada dalam hatinya. Sudah tentulah persoalan niat sangat rumit dan hanya diketahui oleh Allah SWT. Kita hanya boleh menilai dan menghukum manusia berdasarkan perbuatan yang telah dibuat.
Namun adakah dengan bersandarkan kepada dalil ini maka semua orang boleh mengendahkan terus persoalan narsistik hanya kerana niat dinilai hanya oleh Allah SWT?
Tidak juga. Yang tahu niat kita itu ialah diri kita, sebab itulah Islam amat memustahakkan sekali unsur muhasabah diri sekalipun kita melakukan ketaatan kepada Allah SWT dalam bentuk ibadah, kerana syaitan sangat tangkas menipu daya kita semua.
Hadis berkenaan niat itu tadi seolah-olah menjadi antidot (berlawanan) kepada gejala berswafoto dengan tujuan hendak mendapatkan perhatian. Sebaliknya jika niat itu telah dimurnikan dari unsur sombong dan meraih populariti semata-mata maka tidak mengapa.
Panahan Mata al-‘Ain
Saya pasti kita semua mesti ada terdengar tentang istilah penyakit al-‘ain. Jika anda tidak pernah mendengarnya, di sini saya selitkan beberapa hadis berkaitan serta pandangan ulamak berkenaan hal ini. Sebelum itu saya terangkan sedikit secara ringkasnya apa itu al-‘ain.
Al-‘Ain adalah sejenis sihir mata yang tersembunyi. Apabila memuji seseorang melebihi dari takdir Allah SWT atau bahasa mudahnya puji berlebihan tanpa lapikkan sedikit pun ayat berkenaan kebesaran Allah SWT, maka orang yang dipuji itu tadi boleh tertimpa penyakit malah boleh menyebabkan kematian.
Ini bukan cerita saka belakang rumah atau riwayat orang kampung. Ini berdasarkan kepada hadis-hadis yang berikut :
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah. (Riwayat Muslim, no.5831)
Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadis ini terdapat ithbat keimanan pada takdir Allah SWT dan benarnya perkara ‘ain (penyakit ‘ain) dan bahawa ia sangat berbahaya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim – 7/328)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata: “Maknanya ialah orang yang ditimpa bahaya kerana sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan ketika seseorang memandangnya, hakikatnya terjadi dengan takdir Allah SWT yang telah ditetapkan sebelumnya, bukan sesuatu yang baru sahaja diciptakan oleh orang yang memandang terhadap yang dipandang.”
Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ianya boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.”
Beliau turut berkata: “Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” (Lihat Fath al-Bari, 10/203-205)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.”
Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Baginda SAW bersabda:
Maksudnya: “Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”
Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu’. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wudhuknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.” (Riwayat Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036) – Hadis ini dinilai sahih)
Ibn al-Qayyim Rahimahullah berkata:
“Cara pengubatan ini tidak akan dapat mengambil manfaatnya bagi orang yang mengingkarinya, orang yang mempersenda-sendakannya, orang yang meragukannya atau yang melakukannya sekadar cuba-cuba tanpa meyakini.” (Lihat Fath al-Bari, 10/205)
Hadis-hadis dan pandangan para ulama’ itu tadi seolah-olah telah memberikan kita satu amaran yang besar bahawa perlu berhati-hati apabila hendak menayangkan kecantikan atau ketampanan wajah. Jika pada zaman dahulu yang tiada teknologi secanggih sekarang pun perlu berhati-hati apatah lagi pada zaman kini – gambar dapat dimuat naik hanya dalam tempoh beberapa saat dan boleh dicapai seluruh dunia.
Bagaimana agaknya jika gambar yang kita ‘tampal’ di dinding halaman maya bertubi-tubi lalu dipuja oleh ramai orang? Bukankah itu juga boleh mengundang kepada penyakit al-‘Ain? Suatu lontaran idea yang perlu kita fikirkan sejenak sebelum menghantarkan gambar pribadi tanpa meneliti niat dan situasi.
Saya sesekali tidak menyimpulkan terus bahawa amalan berswafoto ini haram kerana untuk mengharamkan sesuatu saya perlu bertaraf mujtahid disisi ulama’ muktabar. Sudah tentulah itu bukanlah tujuan saya membicarakan mengenai swafoto, tetapi untuk mengajak pembaca berfikir dua kali sebelum memuat naik adalah tujuan saya sebenar membahaskan isu ini.
Swafoto Dari Kaca Mata Psikologi
The American Psychiatry Association telah ‘berfatwa’ bahawa gejala berswafoto ini boleh dimasukkan sebagai tanda amaran sebelum dimasukkan sebagai penyakit mental. Sebelum ini kita pernah dengar cerita pada tahun 2014 yang mana seorang warga England, New Castle yang bernama Danny Bowman dirawat sebagai pesakit Body Dysmorphic Disorder. Disini APA (The American Psychiatry Association) telah lampirkan tiga jenis golongan yang suka berswafoto :
Selfitis Borderline : mereka yang berswafoto sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan tidak memuat naik gambar dalam media sosial.
Selfitis Akut : mereka yang berswafoto sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan memuat naik gambar dalam media sosial.
Selfitis Kronik : mereka yang berswafoto lebih daripada enam kali sehari dan memuat naik gambar dalam media sosial.
Ada sebuah kajian yang dijalankan di negara India bagi menilai tahap keseriusan peserta berswafoto. Kajian ini mengambil sampel dari warganegara India kerana dikatakan negara India paling ramai yang mati akibat berswafoto dari tempat yang tinggi dan sebagainya.
Peserta kajian adalah seramai 225 orang dan berumur lingkungan 21 tahun. Kumpulan peserta ini ialah mereka yang dalam kategori selfitis. Kesemua mereka disoal dengan beberapa soalan antaranya “apa yang memaksa anda berswafoto?” “adakah anda ketagih untuk berswafoto?” “kamu fikir orang boleh menjadi ketagihan dalam berswafoto?” dari temuramah tersebut mendapati kebanyakan mereka memang ketagihan dan kategori selfitis itu sememangnya wujud.
Kajian ini cuma membuktikan yang mana ketagihan berswafoto itu memang wujud tanpa dapat disangkal, cuma ianya belum boleh diklasifikasikan sebagai penyakit mental yang baru namun untuk menjadi lebih teruk itu kemungkinan ada.
Daripada kesimpulan kajian itu juga mendapati yang peserta katogeri selfitis kronik lebih cenderung berswafoto hanya untuk meraih perhatian orang ramai dan bersaing siapa lebih baik gambarnya di dalam lingkungan sosial.
Sebagai orang Islam kita sudah tentul perlu membetulkan niat kita semula sebelum berswafoto dan yang kedua kita perlu jadikan hadis-hadis penyakit al-‘ain sebagai suatu rujukan sebelum sesuatu yang buruk berlaku.
Mungkin penyakit ketagihan melampau sehingga mengganggu urusan seharian itu juga termasuk dalam kesan al’ain? Hanya Allah SWT maha berkuasa yang tahu. Seperti kata Tuan Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Dr Zulkifli al-Bakri sebagai orang Islam lindungilah diri kita dari panahan jahat al-‘ain dengan menjadikan surah al-Falaq sebagai amalan lazim seharian.
Sumber: TZKRH.COM