ROMPIN : Kebenaran melancong ke Pulau Tioman dan Genting Highlands yang dijadualkan bermula 1 Oktober dibawah gelembung pelancongan ditangguhkan sementara.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamarudin Ibrahim berkata, perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.
“Dalam Mesyuarat Khas atau Sidang Khas MKN yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri meminta agar tempoh untuk pembukaan gelembung ini (gelembung pelancongan) ditangguhkan sementara ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Mungkin dalam dua atau tiga minggu lagi bila mana Kerajaan dapat mencapai 90 peratus vaksinasi rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Jadi tempoh 1 Oktober yang diumumkan sebelum ini telah pun ditangguhkan ke satu tempoh, satu tarikh yang lain yang akan diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi ujian pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sektor pelancongan Pulau Tioman di Terminal Feri Penumpang Teluk Gading di sini.
Menurut beliau lagi, kawasan pelancongan di negeri ini hanya dibuka kepada penduduk tempatan sahaja memandangkan negeri ini telah berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Oleh kerana Pahang telah memasuki Fasa Tiga, bermakna ada banyak aktiviti-aktiviti telah dilonggarkan dari segi pengeoperasian mereka dan rentas daerah juga telah dibenarkan.
“Dan kita mengambil peluang walaupun belum lagi dibenarkan untuk rentas negeri tetapi bagi rakyat ataupun penduduk yang berada di Pahang boleh berkunjung ke mana-mana destinasi pelancongan yang terdapat di negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau lagi, setiap pelancong yang akan memasuki Pulau Tioman juga diwajibkan menjalani ujian calitan kendiri terlebih dahulu sebelum dibenarkan menaiki feri.
“Selain itu kita juga mensyaratkan bahawa setiap pelancong atau individu yang masuk ke Pulau Tioman perlu menjalani ujian calitan kendiri.
“Syarat ini sebenarnya adalah untuk memastikan bahawa sektor pelancongan tidak menjadi penyumbang kepada masalah penyebaran COVID-19 bagi destinasi-destinasi pelancongan yang terdapat di Negeri Pahang.
“Dan kita percaya syarat yang kita kenakan ini disambut baik terutamanya bagi pengusaha-pengusaha pelancongan kita yang terdapat di Pulau Tioman,” katanya.
Menurut beliau lagi, ujian calitan kendiri ini juga perlu dijalani oleh penduduk pulau yang ingin masuk kembali ke pulau.
“Walaupun mereka penduduk tempatan, apabila mereka keluar dari pulau (Tioman), kita tidak mengetahui sejarah perjalanan mereka. Mereka mungkin pergi ke tempat yang ada jangkitan dan sebagainya.
“Jadi, kita akan mencari jalan terbaik bagaimana boleh membantu mereka, mungkin ada kaedah tertentu yang boleh kita gunakan kepada penduduk tempatan, mungkin kita akan gunakan pas khas kepada mereka,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA