Gelembung pelancongan di Pulau Tioman jika capai imuniti kelompok

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Gelembung pelancongan boleh dilaksanakan di Pulau Tioman sekiranya status imuniti kelompok dicapai di pulau peranginan itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, proses vaksinasi di Pulau Tioman akan dipercepatkan bagi memastikan 80 peratus populasi penduduknya divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini agar lebih banyak pihak yang terbabit dalam industri pelancongan dapat divaksinasi secara besar-besaran.

“Pembukaan semula industri pelancongan di Pulau Tioman akan mengimbangi kerugian, sekali gus meningkatkan semula pendapatan mereka yang terjejas di pulau berkenaan.

“Langkah proaktif itu (gelembung pelancongan) dilihat berjaya membantu negara luar seperti Australia dan New Zealand mengembangkan sektor pelancongan serta ekonomi berkaitan; antaranya membabitkan sektor pengangkutan, penginapan dan makanan,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook beliau pada Ahad.

Mohd Sharkar berkata, ia juga bertepatan dengan strategi utama pelancongan iaitu mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong, sekali gus dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik.

“Dalam melaksanakan gelembung pelancongan itu, tentunya kerajaan negeri mempunyai kriteria ditetapkan; antaranya pelancong yang ingin melancong perlu dipastikan sudah mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan perlu melakukan ujian calitan (swab test),” katanya.

Tambah beliau, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dilaksanakan demi memastikan tidak berlaku penularan pandemik Covid-19 ketika aktiviti gelembung pelancongan dilaksanakan.

“Kita percaya apabila imuniti kelompok ini berjaya dicapai, bukan sahaja Pulau Tioman malah lokasi pelancongan lain seperti Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Cameron Highlands dan Genting Highlands serta Bukit Frazer dapat dibuka kembali.

“Justeru untuk memastikan imuniti kelompok itu dicapai, kita berharap kerajaan pusat segera mempercepatkan program vaksinasi negara.

“Kita tidak boleh tunggu sehingga Ogos atau hujung tahun ini untuk mendapatkan imuniti kelompok, sebaliknya segala perancangan vaksinasi sedia ada perlu diubah dan dilipat gandakan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian